DSAI: Kita Pertahankan Perlembagaan
“……. menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.” - Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu, 31 Ogos 1957
Pakatan Rakyat terbina di atas keringat rakyat yang dahagakan perubahan di negara ini. Bumi bertuah ini tidak kurang bakat dan khazanahnya. Malangnya jika gagal ditadbir urus dengan baik, semua potensi yang kita miliki akan hancur sia – sia akhirnya.

Pakatan Rakyat telah menandatangani Dasar Bersama pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama – menegaskan bahawa ketiga – tiga parti; Keadilan-PAS-DAP menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan amalan demokrasi Raja Berperlembagaan. Ketegasan ini membuktikan bahawa Pakatan Rakyat tuntas untuk mengembalikan Malaysia sebagai negara yang patuh pada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang – undang. Keharmonian sesama kaum, bekerjasama membentuk negara Malaysia yang lebih baik menjadi tema perjuangan Pakatan Rakyat sejak dari awal lagi.
Tuduhan tak berasas bahawa negara kucar – kacir apabila Pakatan Rakyat memerintah kelak ternyata seperti anjing menyalak bukit, takkan runtuh – kebaikan yang dicela kebejatan, tentu tidak akan binasa kebaikannya. Laporan Audit Negara 2011 yang memuji kecekapan dan tadbir urus baik negeri – negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat membuktikan kemampuan dan kesediaan Pakatan Rakyat untuk benar – benar membawa perubahan dan menawarkan tadbir urus yang lebih baik dan bertanggungjawab untuk sama – sama kita membina Malaysia yang lebih baik.
Saya menyeru rakyat Malaysia untuk menolak pimpinan dan pemerintahan yang saban hari menyemai api kebencian, menanam ranjau pertelingkahan yang akhirnya akan menghancurkan negara. Sudah tiba masanya kita kembalikan halatuju negara ke arah membentuk masyarakat madani yang harmoni dan mengangkat ketamadunan bangsa kita menjadi bangsa yang berilmu, beradab dan bermaruah.
Reformasi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan