![]() | Muktamar Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke 58 (Part 1) | ![]() |
Posted on Friday, November 16 @ 18:32:38 MYT by tokdalang
NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUANالحمد لله حمدا الحامدين , وحمدا الشاكرين ,وحمدا يوافي نعمه ويكافي مزيده , يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لجلال وجهك وعظيم سلطانك . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير . وأشهد أن محمدا عبده ورسوله , البدر الدجى والسراج المنير . اللهم وصل وسلم وبارك على محمد أشرف الأنبياء والمرسلين , وعلى آله وصحبه أجمعين , ومن سار على نهجه إلى يوم الدين 1. Yang Dihormati Pengerusi Tetap, YAB Tuan Guru Dato‟ Mursyidul „Am, Sohibul Fadhilah Dato‟ Timbalan Mursyidul „Am, Ashab al-Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulamak, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat, Dato‟ Setiausaha Agung dan seluruh Ahli Jawatankuasa Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan-Dewan, Ketua dan Ahli Jawatakuasa Dewan Himpunan Penyokong PAS, pimpinan dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat, NGO, pengamal media cetak dan elektronik, seluruh para perwakilan dan pemerhati, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian. 2. Saya ucapkan selamat datang ( )أهلا وسهلا ومرحبا بكم kepada semua para perwakilan dan tetamu yang datang dari seluruh pelusuk tanahair tercinta dan luar negeri. Saya juga mengalu-alukan kehadiran kali pertama ahli-ahli baru PAS ke muktamar ini, dari kalangan rakyat, artis dan karyawan, ahli sukan, tokoh akademik, mantan pegawai kanan kerajaan, tokoh korporat dan masyarakat, dan semua kalangan yang ingin bersama PAS membawa mesej Islam ke dalam negara kita ini. Sesungguhnya kehadiran tuan-puan sekelian, akan memeriahkan muktamar kita, menyuntik semangat dan merapatkan saf angkatan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat Allah kepada seluruh alam, ketika seluruh dunia merayu kepada penyelamat, kerana dilambung gelombang krisis kemanusiaan dalam segala lapangan. 3. Negara kita juga tidak terkecuali dalam keadaan yang sama. Cukuplah rakyat menjadi saksinya, apabila UMNO yang menjadi tunjang Barisan Nasional, culas dalam melaksanakan amanah, tidak menepati janji – dengan jelasnya tidak menghormati perjanjian hasil petroleum di negeri-negeri sehingga tergamak menindas majoriti rakyat beragama Islam di negeri Kelantan dan Terengganu khususnya, dengan menafikan hasil minyak yang dikurniakan oleh Allah SWT. 4. Pertumbuhan ekonomi negara pula dijana dengan bebanan hutang RM502 billion, iaitu menghampiri siling 55 peratus nisbahnya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara manakala defisit fiskal telah melepasi 15 tahun berturut-turut. Ini memberi makna, bahawa kerajaan UMNO-BN telah berbelanja besar dari pendapatan sejak sekian lama. Sedangkan, Bank Dunia telah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara antara yang paling kaya dari segi jumlah sumber per kapitanya. Inikah contoh perbelanjaan cemerlang kerajaan Barisan Nasional ? Inilah hakikat yang kita saksikan di depan mata kita sendiri pada hari ini. Semuanya ini dilakukan tanpa memikirkan kesannya kepada kesejahteraan hidup generasi yang akan datang. 5. Kita juga saban ketika dihidangkan dengan skandal yang sarat dengan berbagai penyelewangan. Terkini, Laporan Audit Negara 2011 membuat pendedahan Projek Rumah keluarga Angkatan Tentera, di mana bajet yang digunakan adalah hampir RM1.3 billion kerana menyimpang dari kos asal hasil dari perlbagai kelemahan, selain dari kelemahan sistem runding-terus yang juga mendapat kritikan dari Ketua Audit Negara. 6. Keseluruhan kuasa politik lebih 50 tahun ini telah disyaitani menusia yang menganggap dirinya maha suci daripada segala kesalahan dan kelemahan, jauh sekali dari keinsafan, walau pun terdedah dengan nyata kezaliman di sana-sini, pentadbiran yang bercelaru, sistem ekonomi tidak mensyukuri nikmat dan mengula-gulakan rakyat tanpa penyelesaian masalah sebenar. Merebaknya penyelewengan, maksiat dan jenayah besar dan kecil tanpa undang-undang yang mendidik rakyat dan menakutkan penjenayah yang degil. 7. Ketika ini kita berada dalam lingkungan alam yang tetap berubah, walaupun di bawah kerajaan yang berselindung di sebalik tembok besi paling kebal dalam sejarah manusia, namun tetap akan menemui ajalnya mengikut pusingan alam dunia. Allah menjadikan kerajaan ini silih berganti untuk menguji kita, kita diajar bahawa tidak ada kerajaan yang kekal dan mutlak melainkan kerajaan Allah SWT. 8. Kita perlu meyedari bahawa politik adalah ujian terhadap manusia, sama ada menegakkan kerajaan yang diredhai Allah apabila menegakkan Islam yang adil terhadap semua atau mendapat kemurkaannnya kerana memilih yang lain daripadanya. Dalam hal ini, PAS sangat komited untuk memacu perubahan ke arah mendapat keredhaan Allah SWT, menjadikan Islam sebagai asas perjuangannya, dengan keanjalan sistem Islam yang sesuai di sepanjang zaman dan tempat dengan merujuk kepada al-Quran, Sunnah, Ijma‟ dan Qiyas berdasarkan aqidah ahlus-Sunnah wal-jamaah; serta berpandukan kepada fiqhus-siyasah dalam tindakannya. 9. Inilah yang menjadi teras perjuangan PAS, setelah kita melihat UMNO yang menjadi parti teras Barisan Nasional gagal untuk mendaulatkan Islam dan telah menunjukkan contoh yang tidak baik kepada rakyat keseluruhannya sehingga berulat dengan rasuah ribuan juta ringgit, dan terkini rasuah politik RM40 juta di Sabah, salah guna kuasa, ketidakadilan dalam masyarakat dan sebagainya. UMNO juga gagal memperkasakan orang Melayu dengan Islam, selain dari gagal menunjukkan contoh Islam yang sebenar kepada rakyat, dengan membiarkan orang Islam dalam negara ini dicabar dan diperkotak-katikkan dengan hujah yang biadap oleh pimpinan MCA yang menjadi sekutu rapat UMNO dalam Barisan Nasional. 10. Dalam masa yang sama, UMNO juga mempergunakan kalangan tertentu ulama sebagai terompah yang dipakai ke sana-sini, jauh sekali berbeza dengan PAS yang membawa konsep kepimpinan ulama dalam menentukan halal-haram tindakan dan dasar perjuangannya. Ahli-ahli PAS juga berbeza dengan UMNO-BN, dengan kita menjadikan maqasid-siyasi ini sebagai amanah untuk mendaulatkan syariat Islam, bukannya menjadikan peluang pemerintahan untuk berebut pangkat dan harta negara. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan