![]() | Muktamar Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke 58 (Part 2) | ![]() |
Posted on Friday, November 16 @ 18:32:38 MYT by tokdalang
|
Hadirin dan hadirat sekelian,
TEMA MUKTAMAR
11. Pada hari ini, PAS menyambung kerja dakwah – tarbiyah – siyasah, mengajak rakyat dengan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat. Muktamar yang lalu kita kemukakan tema: MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN. Ramai kalangan lawan dan pemerhati tersalah anggap, sehingga membuat kenyataan terbuka, bahawa PAS sudah menyeleweng daripada matlamat perjuangan menegakkan Islam. Anggapan ini adalah kerana mereka tidak memahami bahasa al-Quran dan terpengaruh dengan bahasa asing “welfare state” yang menafsirkan kebajikan dengan makna yang sempit.
12. Maka bagi muktamar kali ke-58 ini, dikemukakan tema: NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN. Tema ini dikemukakan kerana perpaduan umat menjadi cabaran terkini diseluruh dunia, di negara masing-masing atau diperingkat antara negara dan bangsa. Perpaduan dalam negara kita pula tidak akan wujud dengan laungan 1Malaysia yang diselang-selikan dengan tiupan angin perkauman sempit dan tindakan yang menekan rakyat berbilang agama dan bangsa yang wujud dalam negara kita. Perpaduan dan rahmat inilah yang menjadi tujuan kepada Islam, sebagai risalah akhir zaman oleh Rasulullah SAW yang berbeza dengan para rasul sebelumnya. Allah berfirman :
Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya’ : 107)
13. Kebajikan adalah tajuk kepada ajaran Islam yang menyeluruh. Baca dan fahamilah firman Allah :
Maksudnya : Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada الخير (kebajikan), dan menyuruh berbuat segala perkara yang makruf (baik), serta melarang daripada segala yang munkar (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya.(al-Imran :104)
14. Para ulama tafsir al-Quran menegaskan bahawa الخير (kebajikan) itu ialah seluruh ajaran Islam yang dibawa dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dengan maksud Islam yang sempurna dan ajarannya yang menyeluruh. Ini dihuraikan secara terperinci oleh al-Quran dan Sunnah, di antaranya firman Allah :
Maksudnya : Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah (paling halus), nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah (paling halus), nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) [az-Zalzalah :7-8]
15. Ini jelas menunjukkan bahawa setiap amalan manusia dikira dan dihisab, sama ada urusan ibadat atau urusan kehidupan dunia semata-mata, semuanya tetap berkait dengan hukum Islam. Seterusnya Rasulullah SAW menyenaraikan dengan sabdanya :
سبعةٌ يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله: إمامٌ عادلٌ، وشابٌ نشأ في عبادة الله عز وجل،
ورجلٌ قلبه معلقٌ بالمساجد. ورجلان تحابا في الله اجتمعا عليه، وتفرقا عليه، ورجلٌ دعته امرأةٌ
ذات حسنٍ وجمالٍ ، فقال: إني أخاف الله، ورجلٌ تصدق بصدقةٍ، فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما
تنفق يمينه، ورجلٌ ذكر الله خالياً ففاضت عيناه . )متفقٌ عليه(.
(Ada tujuh jenis manusia, di mana Allah memayunginya pada hari Kiamat nanti, pada yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungannya : Pemimpin yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa bergantung ke masjid, dua sahabat yang berkasih sayang kerana Allah, seorang yang bermoral sehingga diajak oleh wanita yang rupawan dan bangsawan melakukan maksiat, lalu dia menolak kerana takutkan Allah, seorang yang terlalu pemurah memberi sumbangan dan seorang yang berzikir ingatkan Allah di tempat sunyi sehingga berlinang matanya)
Hadirin dan hadirat sekelian,
16. Kebajikan pertama ialah pemimpin yang adil yang disebut siyasah (politik) mentadbir urusan negara dengan Islam yang adil untuk semua. Maha Adil adalah sifat wajib bagi Allah dan termasuk di kalangan nama-nama Tuhan (al-Asma al Husna). Allah mewajibkan berlaku adil kepada hamba Nya dan mengharamkan kezaliman. Adil dalam pemerintahan negara tanpa mengira kawan dan lawan adalah kebajikan pertama, kerana besar cabarannya dan hebat perjuangannya, serta banyak kebajikannya. Seorang penyair Arab menegaskan :
أحسن إلى الناس تستعبد قلوبهم ... فطالما استعبد الإنسان إحسان
وإن أساء مسيء فليكن لك في ... عروض زلته صفح وغفران
)أبي الفتح البستي(.
(Berbuat kebajikanlah terhadap manusia, nescaya engkau menundukkan hati-hati mereka. Maka seringkali manusia itu tunduk kepada kebajikan terhadapnya. Jika orang yang jahat melakukan sesuatu kejahatan terhadapmu, maka jadikan sifat yang baik menghilangkan kejahatannya ialah kemaafan dan keampunan)
17. Konsep adil dalam Islam adalah tawaran PAS kepada rakyat, kerana dengan keadilan Islamlah maka Islam bangkit mencapai kejayaan di zaman Islam berdaulat, mentadbir negara awal yang mengandungi masyarakat majmuk dan masyarakat madani. Risalah ini dinyatakan oleh Firman Allah :
Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat. (an-Nisa’ : 58)
18. Hanya berkebajikan yang berkonsepkan adil untuk semua dapat menyatukan hati manusia majmuk, mewujudkan perpaduan tulen, kerana manusia itu adalah makhluk yang bernyawa, berperasaan dan berakal. Setiap manusia yang saksama akal dan perasaannya tetap menerima kebajikan yang berteraskan keadilan. Ketepikan manusia yang tamak haloba yang buruk sifat-sifatnya dan tidak berperi kemanusiaan. Kita ingin memerintah dengan adil berdasarkan konsep kebajikan yang diterima secara sejagat tanpa paksaan menganut Islam. Saksikanlah bahawa perjuangan Rasulullah SAW pada awalnya didukung oleh penganut Islam dan juga turut disertai oleh kalangan bukan Islam yang menentang kezaliman.
19. Inilah dia seruan dan perjuangan kita dengan pujian Allah SWT kepada orang-orang yang beriman :
Maksudnya : Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah) !". Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (al-Fusshilat : 33-36)
Hadirin dan hadirat sekelian,
20. Maka parti syaitan dan yang dikuasai syaitan di dalamnya, tidak mampu menegakkan kebajikan yang bernama adil terhadap semua. Marilah kita menyahut seruan Allah dan melaksanakannya :
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (al-Maidah : 8)
21. Dalam Negara Berkebajikan ini, semua pihak akan berlumba-lumba melakukan kebajikan, iaitu kebajikan kerajaan terhadap rakyatnya, manakala rakyat pula membantu kerajaan, maka mewujudkan hubungan saling mengerjakan kebajikan antara miskin-kaya, majikan-pekerja, dan sebagainya. Sifat adil yang dilaksanakan dalam Negara Berkebajikan ini adalah amal kebajikan yang membuahkan kasih sayang di kalangan manusia, sehingga merapatkan hubungan di antara pemimpin dan rakyat, serta menjalinkan hubungan baik di kalangan sesama rakyat, seterusnya menarik musuh kepada insaf sehingga menjadi kawan dan sahabat yang setia.
22. Dalam masa yang sama, seluruh pendukung dan ahli PAS mestilah menghayati dengan bersungguh-sungguh dasar yang dibawa dalam muktamar kali ini, dengan menjadikan syarat kebajikan dan amalan ikhlas kerana Allah sebagai paksinya, tidak hanyut dari berpegang kepada Islam yang menjadi matlamat perjuangan kita, menyusun strategi dan gerakerja secara tersusun, dan bersedia untuk berdepan dengan rakyat secara terbuka dalam membawa mesej kita ini.
Hadirin dan hadirat sekelian,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan