Jumaat, 16 November 2012

Muktamar Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke 58 (Part 3)
Posted on Friday, November 16 @ 18:32:38 MYT by tokdalang


PERUBAHAN GEO-POLITIK ANTARABANGSA 

23. Negara-negara umat Islam di pentas antarabangsa kini sedang berdepan dengan arus perubahan yang sedang merobah peta politik dunia. Perkembangan ‟kebangkitan rakyat kuasa rakyat‟ yang sedang melanda dunia umat Islam telah bermula di Tunisia, Maghribi, Mesir, Libya, Yaman, Syria hingga hampir seluruh benua Arab. 24. Tidak siapa dapat menjangkakan rakyat Tunisia berjaya menggulingkan rejim Zine El Abidine Ben Ali yang sejak berpuluh tahun menafikan hak serta suara kebebasan rakyatnya sendiri. Dan tidak siapa yang dapat menjangkakan rakyat Mesir berjaya menggulingkan rejim ‟kuku besi‟ Hosni Mubarak dengan hanya bersenjatakan ‟Kuasa Rakyat‟ yang turun secara sukarela berdemonstrasi di jalan-jalanraya di seluruh negara.

25. Perubahan politik ini semua adalah merupakan ketentuan dan pertolongan dari Allah SWT serta menjadi peringatan kepada mana-mana pemerintah yang sombong dan angkuh serta mahu terus menafikan hak dan kebebasan rakyat. Rakyat hanya mahukan kebebasan dan hak bersuara mereka dihormati dan bukannya mahukan kekayaan sepertimana dimiliki oleh pemerintah yang zalim ini.

26. Umat Islam juga sedang memasuki alaf baru dengan penuh ujian dan cabaran. Di era globalisasi ini, kedudukan umat Islam terus dihimpit dengan pelbagai tekanan dan ujian yang begitu mencabar. Di mata dunia antarabangsa, maruah serta nyawa umat Islam bagaikan tiada apa-apa harga dan nilai. Lihat sahajalah apa yang terus berlaku di bumi Palestin, di Afghanistan, Iraq dan terkini di Syria, seolah-olah harga nyawa umat Islam lebih murah dari haiwan yang hina. 

27. Konflik yang sedang berlaku di Syria amat menyentuh hati dan perasaan kita. Pertumpahan darah dan penderitaan penduduk awam Syria sehingga kini tidak menampakkan jalan penyelesaian. PAS ingin menegaskan sikapnya bahawa konflik di Syria tidak boleh sekali-kali diselesaikan dengan campurtangan kuasa luar terutamanya Amerika Syarikat dan sekutunya. Biarlah rakyat Syria sendiri yang menentukannya melalui suara rakyat tanpa sebarang campurtangan asing yang mempunyai kepentingan strategik. Semua pihak perlulah memberikan tekanan secara berterusan dan berkesan, supaya perubahan kepada demokrasi sebenar boleh berlaku dengan dicorakkan oleh rakyat mereka sendiri. 

28. Saya menyeru seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum serta seluruh masyarakat antarabangsa, agar menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada ratusan ribu penduduk awam Syria yang menjadi mangsa tragedi berdarah ini.

29. Di bumi Palestin, serangan serta pencerobohan tentera Zionis ke atas bumi suci ini terus berlaku tanpa batasan. Mereka mencabul segala batasan undang-undang antarabangsa, melanggar hak asasi kemanusiaan serta melakukan satu jenayah perang yang amat besar. Mereka juga secara terancang dan terangan melakukan pencerobohan terhadap Masjid al-Aqsa dan terus mendirikan kawasan penempatan di tanah yang dicerobohi oleh kerajaan Zionis ini.

30. Apa yang lebih memalukan lagi adalah sebahagian besar dari pemimpin dunia Islam masih di kongkong dengan tekanan hegemoni Zionis. Badan-badan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU), dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kesemuanya membisu seribu bahasa terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Zionis ini. Sekali lagi saya ingin merakamkan sokongan padu PAS terhadap intifadah yang di terajui oleh Harakah Muqawammah (Hamas) di bumi suci Palestin. Bagi PAS, isu bumi Palestin serta pembebasan Masjid Al-Aqsa yang merupakan Kiblat pertama umat Islam kekal menjadi agenda terpenting di peringkat antarabangsa.


Hadirin dan hadirat sekelian, 

PERKEMBANGAN DI RANTAU ASEAN 

31. PAS juga amat tersentuh dengan apa yang berlaku ke atas saudara-saudara kita di Wilayah Rakhine, Myanmar. Kita ingin mengajak semua pihak agar menunjukkan rasa simpatinya terhadap bencana yang dialami oleh penduduk Islam Rohingya. Tindakan zalim yang dilakukan oleh rejim Myanmar terhadap umat islam Rohingya adalah di luar batas peri kemanusiaan dengan membunuh, membakar kediaman serta meroboh masjid yang merupakan suatu tindakan tidak bertamadun. 

32. Dalam hal ini, PAS merasa sangat kesal dengan sikap berdiam diri yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia pimpinan UMNO-BN yang gagal mengecam dan mengambil langkah drastik dalam membantu menyelesaikan isu ini. PAS juga merasa kecewa di atas sikap membisu pejuang demokrasi rakyat Myanmar, Aung Sang Su Kyi yang enggan menyatakan pendirian yang jelas untuk mengutuk kezaliman dan sikap tidak perikemanusiaan yang dihadapi oleh komuniti Rohingya.

33. Berikutan dengan perkembangan damai di Selatan Filipina, PAS mengucapkan tahniah di atas persetujuan damai awal di antara kumpulan pemisah Front Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina yang dicapai baru-baru ini. Ianya merupakan langkah awal ke arah mewujudkan keamanan wilayah autonomi dan boleh memberi manfaat kepada rakyat terbanyak di Mindanao. PAS berharap, perdamaian ini benar-benar terlaksana dan diambil kesempatan untuk mengisi perdamaian dengan membangunkan kembali wilayah yang telah lama bergolak itu. 34. Dalam masa yang sama, PAS juga mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan persetujuan damai tersebut, termasuk juga dari kalangan pimpinan PAS sendiri yang tidak putus-putus terus memberi bantuan dan tunjuk ajar kepada kepimpinan Islam Moro sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu melalui pengasas MILF al-Marhum Ustaz Slamat Hashim.

35. PAS juga, menyeru kepada kerajaan-kerajaan di rantau ini mengambil pedoman di atas kejayaan tersebut bagi mewujudkan perdamaian yang adil kepada rakyat di wilayah-wilayah yang bergolak seperti di Selatan Thailand dan Wilayah Rakhine, Myanmar. PAS ingin membuat seruan terbuka kepada kedua-dua negara jiran kita agar konflik ini di hentikan segera. Tiada penyelesaian kecuali kembali ke meja rundingan dan mencari jalan damai.

36. Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa PAS sentiasa bersedia untuk menjadi „jambatan‟ bagi mencari jalan penyelesaian kepada konflik yang tidak berkesudahan ini sepertimana sumbangan dan penglibatan penting PAS dalam membantu menyelesaikan konflik antara Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dengan pemerintah Indonesia dan juga dalam proses damai antara MILF dan kerajaan Filipina.

Hadirin dan hadirat sekelian,

PAS : GERAKAN ISLAM PENYAMBUNG PERJUANGAN 

37. Kita juga ingin mempertegaskan bahawa PAS adalah merupakan mata-rantai gerakan Islam yang wujud sejak sekian lama, untuk membawa mesej Islam dengan mempunyai komponen tarbiyah, dakwah dan politik. Kita wujud sebagai satu kesinambungan dari perjuangan menentang penjajah yang dipimpin oleh para ulama terdahulu seperti Sheikh Wan Ahmad Mohd Zain Fathani yang menubuhkan Jami’atul Fathaniyah pada tahun 1873 di Makkah, telah disambung oleh murid beliau seperti Raja Ali Kelana dan Syed Sheikh al-Hadi yang menubuhkan Jami’atul Rusyidiyah di Riau pada tahun 1880. Pengaruh Riau inilah mendorong penubuhan Jami’atul Khairiyah di Betawi pada 1904, sebelum ditubuhkan Sarekat Dagang Islam pada 1905 yang kemudiannya dikenali sebagai Sarekat Islam ketika dipimpin oleh Tjoakro aminoto pada 1912. Pengaruh Sarekat Islam sebagai sebuah pertubuhan politik Islam berkembang di Tanah Melayu semenjak tahun 1919 apabila cawangannya wujud di Singapura, Johor, Baserah - Pahang, Terengganu, Kelantan, Patani dan Pulau Pinang. Antara tokoh penting Sarekat Islam di Tanah Melayu ialah Tuan Guru Haji Abd Rahman Limbong yang memimpin pemberontakan ke atas British antara tahun 1924 hingga 1928; iaitu lebih awal dari pergerakan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh As-Syahid Imam Hassan al-Banna pada tahun 1928 di Mesir.

38. Sepanjang tempoh itu, sehinggalah kewujudan PAS secara rasmi pada tahun 1951, kita telah mengalami pasang-surut pengalaman terlibat dalam sistem demokrasi pilihanraya. PAS menjadi gerakan Islam terawal yang berpeluang memerintah melalui sistem demokrasi seawal 1959, kerajaan campuran 1970-an, kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah 1990 dan 1999, Pakatan Rakyat 2008, di mana sikap keterbukaan para ulama PAS lah yang membuka ruang PAS melaksanakan ijtihad Tahaluf Siyasi dalam arus politik tanahair kita sehingga membolehkan PAS berhubung dan bekerjasama dengan kalangan bukan Islam yang terdiri dari 40% rakyat di negara kita ini.

39. Hasilnya kita menjadi parti yang turut sama memerintah negara, menjadi pembangkang, ahli dan pimpinan diburu dan dipenjarakan, digulingkan kerajaan negeri Terengganu pada tahun 1961 dan Perak tahun 2010, membentuk kerajaan h dan turut menggubal undang-undang Islam di peringkat negeri, dan sebagainya yang mewarnai perjuangan PAS dalam suasana serta waqi‟ yang tentunya mempunyai fiqh-aulawiyat yang sangat berbeza dengan rakan-rakan di Asia Barat dan Turki.

Hadirin dan hadirat sekelian, 

40. Sifat anjal yang dimiliki oleh PAS membolehkan kita mengambil pengajaran yang baik dari kemenangan rakan-rakan kita di Asia Barat dalam tempuh setahun-dua ini, tetapi kita juga tidak boleh sekali-kali berundur dalam dasar dan tindakan kita yang telah berjaya melunakkan fikrah masyarakat di negara kita ini berbanding tahun-tahun yang lalu. Natijahnya ialah, tidak salah untuk kita mengambil mana-mana pengajaran yang baik, tetapi hendaklah dilakukan dengan ilmu dan bukannya mengkagumi atau menjadi pengikut secara semberono tanpa melihat suasana masyarakat dan waqi‟ di tempat kita yang sudahpun jauh berubah berbanding dengan suasana di Asia Barat.

41. PAS tetap memilih demokrasi menyertai pilihanraya sebagai wasilah, dari dahulu hingga kini, walau pun berdepan dengan demokrasi tanpa moral yang menjadi senjata UMNO-BN yang memegang tampuk pemerintahan sekian lama di negara kita ini. Merekalah yang menafikan hak rakyat untuk menjadi hakim secara adil dan melakukan muhasabah kepada pimpinan kerajaan. Walau bagaimanapun, kita yakin bahawa rakyat boleh dibangkitkan dengan kesedaran membawa perubahan.

42. Dalam urusan politik, pintu ijtihad tidak boleh ditutup walau pun tidak ada lagi pemimpin setaraf para sahabat terdahulu dan tokoh ulama mujtahidin di zaman awal. Namun Ijtihad secara jama‟ei tetap berlangsung, maka PAS mewujudkan Majlis Syura Ulama yang menjamin keteguhan kita di atas Dasar Islam, Aqidah, Syariat, Akhlak dan Nizam (Sistem), beristiqamah dengan undang-undang tubuh PAS. Sehingga kini alhamdulillah, PAS tidak pernah rugi dalam semua langkah politiknya. Maka ahli-ahli PAS jangan sekali-kali terasing daripada Jamaah Islam ini. Dengarlah amaran Rasulullah S.A.W. :

إِنَّ الشَّيْطَانَ ذِئْبُ الْإِنْسَانِ كَذِئْبِ الْغَنَمِ يَأْخُذُ الشَّاةَ الْقَاصِيَةَ
- مسند أحمد )ج 54 / ص 31 )

(Sesungguh syaitan itu laksana serigala terhadap manusia, seperti serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya)


Hadirin dan hadirat sekelian,

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HOT NEWS