Jumaat, 16 November 2012

Muktamar Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke 58 (part 4)
Posted on Friday, November 16 @ 18:32:38 MYT by tokdalang

ILTIZAM POLITIK

43. Islam menentang kezaliman politik, kerana daripadanya dilahirkan segala kezaliman yang lain. Islam menentang semua kerajaan bersifat diktator secara individu, kumpulan (al-Mala‟), bahkan Islam menolak kalangan pemimpin agama yang berselindung disebalik suruhan Tuhan atau pimpinan agama yang melaksanakan pemerintahan Teokrasi mengikut fahaman Barat sehingga bertindak zalim terhadap rakyat dan negaranya sendiri.

44. Kesemua para Anbiya‟ A.S. adalah membawa Islam beraqidah tauhid menentang syirik dengan makna yang luas, melawan syirik yang berkonsep pemujaan kepada mana-mana atau sesiapa dikalangan makhluk dalam urusan ibadat dan cara hidup, dengan konsep ad-Din yang tidak ada pemisahan politik daripada urusan beribadat kepada Allah. Maka Islam juga menentang pemujaan makhluk manusia yang memerintah dengan zalim dan membodohkan rakyat.

45. Perjuangan Rasulullah SAW menjadi sunnah Fiqh politik yang diamal oleh kerajaan Islam dan kumpulan Islam yang melangsungkannya disepanjang zaman, berasaskan hukum Islam yang adil terhadap semua. Ada kalangan yang masuk Islam dan ada kalangan yang hanya menerima kerajaannya yang berkonsepkan adil terhadap semua rakyat, sehingga kelahiran tamadun Islam yang unggul melibatkan masyarakat majmuk.

46. Politik Islam mewujudkan perpaduan masyarakat majmuk yang tidak mampu dilaksanakan oleh ajaran lain. Allah berfirman :

Maksudnya : Mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan, serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (al-Haj : 40)

Hadirin dan hadirat sekelian,

47. Pendedahan sejarah sebelum tegaknya masyarakat dan negara sebelum Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. menunjukkan mana-mana kaum dan penganut agama yang menang mesti menindas pihak yang lain dengan zalim dan ganas.
48. Islam yang memerintah di Madinah dan selepasnya memberi hak yang adil kepada masyarakat majmuk mewajibkan perpaduan di kalangan masyarakat penganut Islam dan masyarakat manusia seluruhnya. Piagam Madinah adalah satu perjanjian di antara kerajaan dan rakyat masyarakat majmuk yang bersejarah dan menjadi panduan kepada kerajaan Islam yang adil selepasnya.

49. PAS juga sudah bersedia untuk bersama memerintah negara Malaysia ini, bersama rakan Pakatan Rakyat, bagi memikul dan melaksanakan amanah. Maka PAS mengadakan Tahaluf Siyasi, dalam persefahaman Pakatan Rakyat yang menegakkan konsep dalam persamaan dan tidak memaksa dalam perbezaan. Secara bersama, permuafakatan Pakatan Rakyat telah mengisytiharkan resolusi :

1. Islam Agama Persekutuan dan memberikan hak yang adil kepada agama-agama lain untuk diamalkan di Malaysia.
2. Hak Istimewa Bumiputra dan melaksanakan hak yang adil kepada semua kaum.
3. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan menerima hak bahasa ibunda berbagai kaum.
4. Kedudukan Raja berperlembagaan.

50. Iltizam politik menerusi Tahaluf Siyasi ini menuntut kita terus bekerjasama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat, secara kolektif dalam mengurus pentadbiran negeri dan negara. Dalam masa yang sama, setiap ahli PAS yang berada dalam lingkungan pentadbiran dan pemerintahan kerajaan ini juga perlulah memahami fiqh-aulawiyat, maqasid syariah, serta bertegas dalam perkara dasar selari dengan Perlembagaan PAS itu sendiri. Tahaluf Siyasi ini juga tidak seharusnya mengaburkan kefahaman ahli PAS terhadap konsep Fiqh at-Taat terhadap parti kita sendiri.

Hadirin dan hadirat sekelian,

PENDEKATAN EKONOMI

51. Dunia menyaksikan kejatuhan komunisme yang menolak agama semuanya, manakala ekonomi berdasarkan kebendaan semata-mata menjadi tuhan yang disembah. Manusia laksana alat jentera, jasad yang tidak ada roh, akal yang tidak berpanduan. Kini pula dunia sedang menyaksikan keruntuhan ideologi Liberal Kapitalisme yang juga bertuhankan kebendaan dan agama menjadi sampingan yang tidak bermaya, sehingga kebebasan ekonomi tanpa kawalan roh dan hati nurani tanpa perhitungan dosa dan pahala.

52. Suasana ini membarahkan politik menipu dan ekonomi berpusing kekayaan di kalangan kelompok tertentu, di kalangan ahli politik dan ahli ekonomi yang bersekongkol dengannya. Seterusnya ini melahirkan Firaun dan Haman yang menerima rasuah, serta kumpulan Qarun yang mengumpul kekayaan melalui konsep monopoli tamak haloba secara riba, rasuah dan berbagai salah laku.

53. Hakikat inilah yang kita lihat sedang berlangsung dalam negara kita ini. Negara kita yang kaya dengan hasil bumi ini, akan muflis sekiranya terus berada di tangan kerajaan Barisan Nasional. Melaksanakan transformasi ekonomi ala Kerajaan BN untuk setanding dengan negara yang kaya di dunia Barat juga, bukanlah ukuran yang rakyat inginkan. Nilai ringgit yang ada pula makin menyusut, sehingga duit bertimbun yang dimiliki tidak memberi apa-apa makna lagi.

54. Perdana Menteri pernah berbangga dengan Malaysia memilikki 30 bilionaire yang berkongsi kekayaan sejumlah RM200 bilion. Namun PAS mahu mengingatkan, bahawa ada billionaire ini yang menanggung hutang korporat ke paras RM 22 bilion seorang semasa Krisis Kewangan 1997 dulu. Kini sudah pun di ketahui pasaran kewangan, bahawa antara 30 bilionaire ini, ada yang berhutang ke paras RM55 bilion dan RM 34 bilion setiap tokoh korporat, sekaligus mengulangi kesilapan lama.

Hadirin dan hadirat sekelian,

55. Inilah yang cuba ingin kita perbetulkan, dengan mengambil langkah-langkah penting ini sekiranya kita diberikan amanah nanti. Pertama - membetulkan falsafah ekonomi sedia ada kepada yang lebih adil dan memakmurkan. Dalam hal ini, dasar fiskal mahupun monetari yang adil sifatnya, mesti digunakan sebaiknya untuk memacu pertumbuhan; Kedua – membetulkan pelaksanaannya dengan bersendikan akhlak dan perkiraan dosa-pahala, akauntabiliti yang holistik, undang-undang yang mampu mencegah, dan seterusnya mencegah pembaziran, ketirisan, penyelewangan serta rasuah; Ketiga – membuat penilaian menyeluruh terhadap hasil negara, supaya pengurusan warisan khazanah negara ini dimanafaatkan dengan lebih telus dan adil untuk semua rakyat. Keempat – menolak diskriminasi, di mana dasar ekonomi dan sifat kebajikannnya dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman politik – negeri - wilayah; dengan merujuk kepada keadilan Islam yang sebenar. Ini sekaligus menolak amalan kronisme dan monopoli pasaran tempatan, dengan memperkenalkan akta-akta bagi mengikat kewujudan „kartel‟ yang bertindak menekan rakyat.

56. PAS menegaskan bahawa tanggungjawab pemerintahan dan memakmurkan bumi ini adalah satu amanah yang mesti ditunaikan, bukan hanya untuk memenuhi tuntutan rakyat yang mengangkat sesebuah kerajaan, bahkan pada kekemuncaknya supaya kepimpinan negara bertanggungjawab kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, mentadbir khazanah kekayaan negara dan mengurus kewangan secara bijak serta menjadikan pengurusan ekonomi dan membangunkan harta atau „Hifzul Mal‟, adalah termasuk dalam perkara-perkara penting yang mesti dipelihara dan dimajukan oleh sebuah Negara Berkebajikan.

57. Kedatangan Islam pula menyaksikan sejak awalnya pelaksanaan Islam memerintah negara, dilaksanakan dalam kegiatan ekonomi yang penting bagi seluruh manusia sejagat, bukan sahaja kepada penganut Islam. Dalam perkara ibadat wajib berbeza, dalam perkara muamalat wujudnya pergaulan yang adil di kalangan masyarakat majmuk.

58. Apabila konsep Ihya al-Mawat memiliki tanah pertanian dan kebebasan perdagangan tanpa belenggu yang zalim, diberi hak kepada seluruh kegiatan ekonomi rakyat termasuk kepada penganut bukan Islam dalam perkara yang dizinkan oleh agama mereka dan diharamkan oleh Islam, yang akhirnya menyebabkan rakyat tertindas berbagai kaum menerima pentadbiran Islam.

59. Konsep zakat adalah kebajikan pengumpulan hasil dan pengagihannya yang adil secara ibadat bagi penganut Islam sepanjang hidup, walau pun tanpa diurus oleh kerajaan tetapi zakat tetap diwajibkan ke atas penganut Islam dan tidak wajib bagi penganut bukan Islam. Seterusnya dipanjangkan dalam konsep mengendalikan sistem percukaian yang tidak berkait dengan ibadat kepada penganut bukan Islam, samada sumber asli atau percukaian ke atas kegiatan ekonomi rakyat. Ianya diambil daripada mereka yang berada, tidak membebankan rakyat miskin dan menganggur. Mengagihkan harta untuk rakyat dengan konsep adil terhadap semua dan perbelanjaan urusan kerajaan yang tidak bakhil dan boros. Zakat wajib dikekalkan kerana ibadat harta bagi penganut Islam. Ada pun cukai boleh dihapuskan apabila tidak memerlukan.

60. Dalam pengagihan sumber zakat, para ulama bersepakat diutamakan penduduk di daerah zakat diambil, maka begitulah juga konsepnya dalam sistem pengagihan sumber negara. Bermakna kerajaan pusat tidak boleh sewenang-wenangnya mengangkut hasil mana-mana wilayah, tanpa menilai sepenuhnya keperluan kesejahteraan hidup di wilayah berkenaan. Rasulullah S.A.W. bersabda :

الناس شركاء في ثلاثة , الماء والنار والكلأ
[Manusia itu bersyarikat dalam tiga perkara (menjadi keperluan umum) iaitu air , api dan padang ragut]
Hadirin dan hadirat sekelian,

61. Konsepnya ialah, keperluan umum hendaklah dikawal oleh kerajaan supaya tidak ada kalangan yang mengambil kesempatan bagi diri mereka dan kroni daripada perkara yang menjadi kepentingan umum. Maka keperluan umum sudah tentu berubah mengikut peredaran zaman, sehingga dipanjang dalam perkara-perkara yang lain seperti pendidikan, kesihatan dan segala kemudahan awam yang lain.

62. Bahkan di zaman negara Islam yang bertamadun berjaya diwujudkan penginapan dan khidmat percuma untuk para musafir yang dinamakan Musafir Khanah. Di sinilah maka cukai yang membebankan rakyat seperti tol boleh dihapuskan, pendidikan percuma dan rawatan percuma boleh dilaksanakan.

63. Bagi mengurang beban kos saraan hidup seharian ketua isi-rumah, pendekatan yang wajar adalah untuk meningkatkan „pendapatan boleh berbelanja‟ dan bukan dengan pemberian „one-off‟ secara bermusim. Mengurangkan kos utiliti seperti air dan elektrik, kesihatan, pelajaran, pengangkutan serta keperluan makanan asas jelasnya akan meningkatkan „pendapatan boleh berbelanja‟ ketua isi-rumah serentak mengangkat kehidupan yang lebih bermakna dan tidak hanya bergantung kepada subsidi dan „pemberian‟ one-off yang diamalkan oleh kerajaan UMNO-BN secara bermusim.

64. Kebajikan negara disumbangkan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama, maupun faktor kedudukan geografi wilayah jauh atau dekat; semuanya dinilai kepada tahap keperluan memenuhi kesejahteraan hidup rakyat terlebih dahulu. Natijahnya menjalinkan hubungan yang baik di antara kerajaan dan rakyat, dan di kalangan rakyat majmuk. Keadaan yang berbeza dengan kerajaan sebelumnya samada di kalangan bangsa sendiri, atau penjajah yang menakluk. Maka kedatangan Islam diterima dengan rela hati oleh seluruh rakyat tempatan. Di sinilah menunjukkan kepada kita, betapa luasnya contoh jalan penyelesaian yang diberikan oleh Islam apabila kita terbuka mendengar dan bersedia untuk melaksanakannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HOT NEWS