Jumaat, 16 November 2012

Muktamar Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke 58 (Part 5)
Posted on Friday, November 16 @ 18:32:38 MYT by tokdalang


Hadirin dan hadirat sekelian,

MEMBANGUN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN

65. PAS berkewajipan memperkenalkan agenda pembangunan insan yang sebenarnya mengikut acuan Allah Pencipta manusia dan seluruh alam. Kegagalan sistem pendidikan menjadikan negara dan bangsa ketinggalan, lemah dan hina.

66. Pendidikan adalah pembangunan insan, mestilah mengikut acuan kejadian manusia yang ditetapkan Allah mengikut fitrahnya. Kemusnahan tamadun umat terdahulu yang hebat kerajaan dan bangunannya adalah kerana tidak membangun insan mengikut fitrahnya, sehingga tidak melaksanakan tugasnya dengan baik dan adil di bumi Allah, berlaku kezaliman bukan sahaja terhadap rakyat yang lemah ditindas, bahkan terhadap ilmu. Tokoh-tokoh ilmuan dihapuskan setelah mencapai kejayaan yang disumbangkan kepada negara dan bangsanya supaya tidak dipindahkan kepada pihak lain atau dianggap mencabar kedudukan pemimpin. Ada ahli falsafah yang dibunuh, arkitek yang dipotong tangannya. Keadaannya lebih melampau apabila menolak para Rasul yang dipilih oleh Allah dengan ilmu wahyu.

67. Tamadun bangsa – bangsa tersebut masih ada peninggalan sejarahnya yang boleh dilawati untuk diambil iktibar, bahawa pembangunan dengan ilmu sains dan teknologi tanpa hidayah kepada akal dan pembangunan rohani di dalam jasadnya berakhir dengan kemusnahan. Kini kita sedang menyaksikan tanda bermulanya kemusnahan tamadun barat yang menjadi senjata kezaliman terhadap diri manusia dan alam sekitarnya.

68. Inilah yang sedang kita lihat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang dibentangkan oleh kerajaan BN. Visi sistem pendidikan yang dicadangkan itu gagal diberikan roh pegangan agama yang tulen kepada pelajar untuk berdepan dengan cabaran krisis akhlak di masa depan; sementara pihak kerajaan pula yakin menjadikan pencapaian akademik negara maju tertentu sebagai kayu pengukur maju atau tidaknya sistem pendidikan itu sendiri. Guru-guru pula berdepan dengan satu lagi eksperimen baru, yang terus memberi tekanan baru kepada bidang perguruan, akhirnya guru menjadi mesin yang bukan lagi melaksanakan peranan mendidik generasi akan datang. Terkini ialah tindakan kerajaan memperkenalkan sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah, walaupun ada kebaikannya tetapi melaksanakannya secara separuh masak tanpa menyediakan infra tenaga tambahan yang mencukupi akan hanya mendera guru-guru yang terlibat. Selain dari itu, bidang pendidikan Islam terus berada di luar arus perdana, ditambah pula dengan cadangan untuk kononnya memperkukuh Pendidikan Islam dan Moral dengan memberi lebih fokus ke atas “teras nilai” dan “falsafah agama utama” menjelang 2017 adalah satu kenyataan yang membawa masuk fahaman liberalisme dan mengenepikan semangat agama Islam sebagai agama persekutuan.

69. Maka PAS berkewajipan membetulkan acuan pendidikan membangun insan. Mengembalikan semula dasar dan konsep pendidikan Islam, membangun insan merangkumi kewajipan dunia dan akhirat, dalam perkara fardu „ain dan fardu kifayah, bagi urusan dunia dan akhirat. Menegakkan kemerdekaan yang sebenarnya bagi rakyat, supaya bebas daripada pemikiran penjajahan yang masih ada sama ada kesan penjajah asing atau penjajah dalaman sendiri yang menghilangkan jati diri manusia yang berkemampuan dengan aqidah, akhlak dan kebijaksanaan ilmu.

70. Peranan bahasa kebangsaan yang menjadi jiwa bangsa wajib diperkasakan menjadi bahasa ilmu dan pentadbiran negara dan perpaduan rakyat, bersama bahasa ibunda kepada semua kaum dan menggalakkan pengajian bahasa asing bagi menimba ilmu yang bermanfaat daripada mana-mana sahaja, kerana sabda Rasulullah S.A.W. :

الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها . )ابن ماجه(.

(Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan seorang yang beriman, maka di mana sahaja dia menemuinya, hendaklah dia memungutnya).
71. PAS dalam kerajaan Pakatan Rakyat wajib memastikan tidak ada kalangan rakyat yang tercicir daripada pendidikan, mengikut tahap kemampuan masing-masing, sekurang-kurangnya fardu „ain bagi setiap orang dan diperingkat fardu kifayah dalam urusan agama dan dunia sebanyak-banyaknya. Peruntukan kewangan pula wajib disediakan oleh kerajaan dengan secukup – cukupnya dalam kemudahan ini, sebagai melaksanakan tanggungjawab menyediakan pendidikan kepada rakyat.

72. Mengikut Islam, sesebuah kerajaan itu tidak rugi termasuk dari segi kewangan dengan memperkenalkan pendidikan percuma, bahkan memberi pulangan hasil negara yang meningkat dengan kewujudan rakyat yang dibina insannya dengan saksama dapat menambahkan hasil negara. Segalanya berlaku apabila rakyat berilmu, beriman dan budiman. Rakyat tidak menjadi bodoh yang tidak berguna atau pun cerdik menipu tidak boleh ditumpang.

Hadirin dan hadirat sekelian,

KOMITMEN PAS UNTUK RAKYAT

73. PAS juga bersedia untuk menerima amanah sebagai komponen kerajaan Pusat atau pun negeri bersama dengan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya yang akan datang ini. Kita percaya bahawa dengan sokongan rakyat dan keahlian PAS yang merangkumi berbagai bidang kepakaran, selain dari kalangan teknokrat yang boleh bekerjasama dengan kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat, kita bersedia untuk menunaikan amanah yang lebih besar ini.

74. PAS percaya dan yakin bahawa peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat akan berlaku dengan lancar dan aman sekiranya rakyat memberikan amanahnya kepada kita. Kepada rakyat keseluruhannya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih baik. Maka sekiranya kita gagal melaksanakan amanah itu, rakyat bolehlah menghukum kami dalam pilihanraya yang seterusnya

75. Komitmen besar PAS ini memberikan suatu jaminan bahawa jentera kerajaan Pusat atau Negeri yang terdiri dari pegawai berbagai peringkat ini tidak akan dizalimi atau dibalas dendam, kerana merekalah yang akan melaksanakan dasar kerajaan semasa yang dipilih oleh rakyat. Hubungan yang baik dengan institusi Raja berpelembagaan akan dipertahankan, sebagaimana komitmen bersama Pakatan Rakyat yang kita ikrarkan.

76. Sekiranya diberikan amanah ini, maka PAS juga akan mengusulkan supaya dimansuhan akta-akta yang zalim, mengembalikan kewibawaan institusi penting dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), instituti pendakwaan dan kehakiman, Parlimen Malaysia, pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan sebagainya. Perjalanan pilihanraya yang lebih adil dan bebas akan terus diperjuangkan oleh PAS, walaupun setelah kita sampai ke Putrajaya nanti kerana inilah ciri sebuah negara demokrasi yang sihat.

Hadirin dan hadirat sekelian,

77. Kepada rakyat bebagai kaum dan etnik di Sabah dan Sarawak pula, marilah kita sama-sama bangunkan negara Malaysia ini secara bersama bergandingan tenaga dengan penuh adil dan saksama. Hak rakyat peribumi Sabah dan Sarawak yang dijanjikan akan dilaksanakan, selain dari komitmen bersama Pakatan Rakyat menerusi deklarasi penting semasa kita menyambut ulangtahun Hari Malaysia pada 16 September yang lalu. Hasil kekayaan bumi royalti minyak sebanyak 20 peratus akan dipulangkan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

78. Selain dari melaksanakan tekad kita bersama Pakatan Rakyat sebagaimana yang sama-sama kita rangkakan dalam Buku Jingga, PAS juga ingin melebarkan komitmen untuk membaiki kerosakan yang ada dalam negara kita sekiranya diberi ruang untuk ke Putrajaya, selain dari iltizam untuk sama-sama membangunkan negara kita ke arah yang lebih baik menerusi MANIFESTO khusus yang akan dibentangkan kepada rakyat bila tiba masanya yang sesuai nanti.

79. Antara intipati terpenting komitmen PAS ialah, untuk memartabatkan Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, mengiktiraf dan mengupayakan peranan generasi muda, meningkatkan dan mengiktiraf peranan wanita, membela dan memajukan golongan petani, meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan tanpa membebankan rakyat, agenda khas ekonomi dan pengurusan kewangan, memperkenalkan keadilan sistem pendidikan, memperkenalkan seni-budaya yang memartabatkan nilai hidup insan, dan sebagainya.

80. Selain dari komitmen yang dinyatakan tadi, PAS juga berkongsi nasib yang menimpa peneroka luar bandar yang ada di waktu ini. Peneroka luar bandar khususnya berbangsa Melayu yang terdiri daripada 112 ribu peneroka dan lebih 1 juta warga Felda terdiri daripada peneroka, keluarga dan kakitangan Felda. Sebarang tindakan yang dilakukan terhadap Felda akan memberi kesan yang besar kepada kelompok mega rakyat Malaysia ini.

81. Kita sama-sama lihat, bahawa sejurus selepas Felda di senaraikan di Bursa Malaysia melalui anak syarikatnya Felda Global Ventures (FGV), ia menjadi satu detik hitam kepada warga Felda keseluruhannya. Aset Felda yang berupa tanah, ladang dan pelbagai aset lain yang menjadi hak milik bersama warga Felda, kini sudah dibuka kepada milikan bebas termasuk syarikat-syarikat asing atas nama penyenaraian. Maka berteraskan amanah membela rakyat, PAS menyatakan komitmen berterusan untuk menyelamatkan tanah dan seluruh aset Felda ini dan diagihkan kekayaan tersebut kembali kepada rakyat sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan nanti.

Hadirin dan hadirat sekelian,

82. Baru-baru ini juga, pihak kerajaan telah melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik – AES yang telah mula dikuatkuasakan pada 23 September 2012 yang lalu. Membantah perlaksanaan AES tidak bermaksud kita bersetuju pengguna jalanraya memandu sewenang-wenang tanpa mengendahkan undang-undang dan peraturan jalanraya.

83. PAS di bawah Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE], telah membantah perlaksanaan AES ini kerana terlalu banyak kekeliruan dan kecelaruan yang timbul dalam perlaksanaannya. Antaranya lokasi pemasangan kamera AES di tempat-tempat yang tidak sesuai dan tidak munasabah. Cara penguatkuasaannya pula melibatkan syarikat-syarikat swasta yang akan mendapat imbuhan hasil berniaga menerusi pembayaran saman-saman oleh pesalah lalulintas.

84. Alasan bahawa kelajuan adalah penyumbang utama kemalangan tidak boleh diterima dengan mudah dan sewenang-wenangnya. Benar, kelajuan adalah antara punca kemalangan tetapi bukan punca utama. Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia pernah menyebut bahawa 85.74% punca kemalangan adalah disebabkan faktor manusia, 10.62% disebabkan keadaan persekitaran manakala 3.64% lagi adalah faktor kenderaan. Faktor manusia inilah yang memerlukan pendidikan dan pendekatan yang lebih holistik bukan dengan memasang kamera-kamera untuk menyaman sebagai satu bentuk perniagaan.

85. PAS juga mengulangi komitmen untuk menilai kembali projek-projek mega yang sepatutnya memberikan pulangan ekonomi kepada negara tanpa membebankan rakyat dan alam sekitar. Projek-projek seperti Kilang Penapisan dan Petrokimia di Pengerang, Johor; sepatutnya dilaksanakan tanpa melibatkan pemindahan 25,000 penduduk yang menghuni selama puluhan tahun di 10 buah kampung tradisi, melibatkan pemindahan lebih dari 10 buah sekolah, masjid dan sebagainya. Kita tidak menolak projek ekonomi seperti ini, tetapi PAS menolak kezaliman di atas nama pengambil alihan tanah secara tidak adil, pemusnahan ekologi kawasan perikanan, yang seterusnya menjejaskan mata pencarian hidup rakyat sendiri.

86. PAS juga mengiktiraf peranan golongan perajurit yang banyak berkorban untuk negara. Kita akan memperjuangkan supaya Yayasan dan Koperasi Persatuan bekas-bekas Tentera seluruh Malaysia, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Syarikat Perumahan Angkatan Tentera (SPAT) untuk diberi tenaga baru serta diperluaskan fungsinya, dalam usaha membangunkan ekonomi tentera dan veteran. Semuanya ini adalah untuk memastikan bantuan kebajikan berterusan kepada tentera dan veteran sekeluarga terus terpelihara, selain dari komitmen untuk memberikan bantuan pendidikan sepanjang hayat kepada tentera, balu tentera dan tanggungan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HOT NEWS