![]() | Muktamar Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke 58 (part 6) | ![]() |
Posted on Friday, November 16 @ 18:32:38 MYT by tokdalang
|
Hadirin dan hadirat sekelian,
PILIHANRAYA
87. Dikesempatan ini juga, PAS ingin merakamkan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak yang telah memberikan amanah kepada kita secara bersama dalam muafakat Pakatan Rakyat, dan pegawai-pegawai dalam pentadbiran kerajaan negeri yang telah bekerjasama memahami perlunya terus bertugas dengan amanah dengan kerajaan semasa iaitu kerajaan Pakatan Rakyat, dengan matlamat untuk membawa perubahan yang lebih baik dari kerajaan yang terdahulu.
88. Kita menyedari bahawa sekarang ini kita berada dihujung tempoh pemerintahan di negeri-negeri yang kita menangi menerusi pilihanraya umum ke 12 yang lalu, sebelum ianya diserahkan kepada rakyat untuk menjadi hakim sekali lagi dalam PRU-13 nanti. Tentunya tugas terpenting untuk kita ialah, mempertahankan negeri-negeri yang kita menangi dengan seluruh gerakerja dan tenaga yang kita miliki dengan penuh keazaman untuk melebarkan kemenangan sehingga sampai ke Putrajaya, insyaAllah.
89. Kita juga menyedari bahawa sudah tentunya tempoh hampir lima tahun ini tidak mencukupi untuk kita lakukan perubahan yang besar yang kita citakan di negeri yang kita perintah, kerana dalam masa yang sama kita berdepan dengan konsep federalisma songsang yang memberikan kuasa negeri yang terhad, campurtangan dan tekanan secara tidak adil oleh kerajaan pusat terhadap pemerintahan kita, tidak sempatnya kita menukar sistem pentadbiran menyusahkan rakyat yang berakar umbi dari peninggalan kerajaan BN sejak sekian lama, selain dari beberapa kelemahan kita sendiri yang perlu dibaiki secara berterusan dengan seni menyelesaikan masalah secara penuh hikmah.
90. Kerja-kerja asas pilihanraya yang ada hendaklah diteruskan tanpa henti, manakala pengarahan gerakerja khusus menjelang pilihanraya ini akan diberikan oleh jentera Jabatan Pilihanraya PAS Pusat dan Jabatan Pilihanraya Negeri, Dewan Ulama – Muslimat – Pemuda, dan Lajnah masing-masing yang menyumbang kepada keseluruhan tugas pilihanraya ini tanpa perlu saya perincikan strateginya dalam muktamar pada hari ini. Patuhlah kepada arahan-arahan ini tanpa rasa ragu dan lemah.
Hadirin dan hadirat sekelian,
91. Ingatlah, bahawa ungkapan menuju ke Putrajaya yang saban waktu kita laungkan; melalui program Himpunan Hijau ke Putrajaya, Program PAS ganti UMNO, Himpunan Kebangkitan Rakyat; semuanya adalah berpijak di atas kenyataan keazaman kita untuk membawa rakyat sama-sama melakukan perubahan. Ianya bukanlah suatu mimpi, tetapi turut berada dalam jangkauan hasil dari muafakat bersama dalam Pakatan Rakyat.
92. Di saat ini sehinggalah kita berdepan dengan PRU ke-13 nanti, seluruh negara akan berdepan dengan taufan wang yang akan masuk ke setiap buah rumah dan jiwa manusia yang ada di tanahair kita ini. PAS akan berdepan dengan ujian getir rakyat yang dipujuk dengan wang, projek dan sebagainya, selain dari berbagai cara penipuan yang menjadi senjata utama lawan kita.
93. Maka kita perlu menyatakan komitmen untuk melakukan tindakan-tindakan tertentu dalam menghadapi PRU-13 ini. Tindakan Pertama : Petugas PAS perlu banyak bersabar dan kekal bersiap sedia walaupun terganggu oleh strategi BN melambat-lambatkan PRU, sebab penundaan tarikh-tarikh PRU adalah sememangnya strategi BN untuk menurunkan moral serta melemahkan kedudukan kewangan kita, selain dari mereka juga cuba memancing isu yang akan memerangkap kita. Sepanjang tempoh ini jugalah, kita akan berdepan dengan tiupan api perkauman dan ketegangan oleh media arus perdana yang menjadi perkakas dalam mempertahankan kerakusan kerajaan UMNO-BN. Teguhlah dengan jamaah, nescaya kita akan terus selamat dan mampu menghadapi dengan cabaran ini.
94. Tindakan Kedua : Petugas PAS hendaklah banyak membuat persediaan menjaga benteng masing-masing (Parlimen atau DUN) menghadapi musuh yang amat licik. Marilah kita meneliti Firman Allah SWT :
يَا أَي هَُّا الَّذِينَ آمَنُواْ اصْبُِِواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَاتَّ قُواْ اللّهَ لَعَلَّكُمْ ت فُْلِحُونَ
Maksudnya : Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung. (al-Imran : 200)
95. Tindakan Ketiga : Petugas PAS hendaklah bersedia menangani kedatangan orang-orang Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi tidak menzahirkan sokongan kerana menghormati ibubapa mereka yang masih menyokong UMNO. Sikap orang muda sekarang amat berbeza dengan generasi terdahulu. Fahamilah, bahawa mereka tidak suka ceramah yang mencaci-cela orang, mereka menyokong PAS tetapi tidak mahu menjadi ahli, mereka mahukan pimpinan PAS memperincikan agenda-agenda yang dijanji dan dan bukan sekadar retorik, mereka cepat cakna perkembangan semasa kerana sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi facebook, blog, sms dan lain-lain.
96. Tindakan Keempat : PAS juga hendaklah memenangi sebanyak mungkin kerusi yang diamanahkan kepada PAS dengan keutamaan ialah mempertahankan semua kerusi Parlimen yang telah dimenangi PRU2008 (24 kerusi), kerusi parlimen yang lain akan diberikan suntikan kerja yang tersusun dengan disokong oleh pimpinan pusat yang diamanahkan tugas tumpuan ini, semua parlimen yg ditandingi PAS di Sabah dan Sarawak akan juga diberi tumpuan khusus bagi menjamin kemenangan bersama.
97. Sehubungan dengan itu, media parti seperti Harakah dan Harakahdaily, bersama dengan Jentera Penerangan parti hendaklah bertindak membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah distrategikan. Tempoh yang ada ini wajar dimanafaatkan sepenuhnya untuk menyampaikan maklumat pencapaian pemerintahan kerajaan kita kepada ahli-ahli kita, yang kemudiannya akan menyampaikannya kepada rakyat yang menjadi pengundi senyap dalam pilihanraya. Konsep mendahulukan kebijaksanaan daripada kemusnahan atau kemarahan hendaklah diutamakan.
98. Pilihanraya umum ke-13 ini juga adalah merupakan pilihanraya yang melibatkan perang siber. Persiapannya bukan lagi seperti pilihanraya yang pernah kita lalui sebelum sebelum ini. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, petugas-petugas kita disemua peringkat mesti melakukan reformasi cara bekerja dengan menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutamanya dalam menghadapi fenomena perang siber menerusi media baru ICT sekarang ini.
99. Kerjasama penerangan dan ICT perlu diperkukuhkan segera untuk menghadapi PRU-13 ini dengan mewujudkan satu urusetia berkaitan Media Baru sebagaimana yang diresolusikan dalam Persidangan ICT dan Media Baru 2011 pada tahun lepas. Saya menyeru kepada semua pimpinan PAS terutamanya yang terlibat dengan Lajnah Penerangan dan Jabatan Pilihanraya disemua peringkat melihat potensi ICT dan Media Baru ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan kempen dan dakwah melalui laman sesawang, youtube, facebook, twitter, webtv, selain dari ceramah dan bahan-bahan media cetak.
Hadirin dan hadirat sekelian,
ARAHAN KEPADA AHLI DAN PIMPINAN PAS
Marilah dengan fikiran yang terbuka, penuh keazaman, berbekalkan keimanan kepada Allah dan janjinya dunia-akhirat, keyakinan kita kepada perjuangan kita ini, maka saya ingin membuat pengarahan berikut kepada semua perwakilan yang ada pada hari ini :
1. Saya mengarahkan kepada semua petugas, ahli dan pimpinan PAS untuk sentiasa menggenggam matlamat perjuangan untuk Islam, memurnikan fikrah perjuangan, tidak leka, tidak melaksanakan perkara yang merugikan perjuangan, seterusnya tidak mencelarukan fikrah dengan urusan yang tidak penting.
2. Saya mengarahkan agar semua jentera parti : dewan - dewan, lajnah, negeri untuk menumpukan perhatian kepada kerja pilihanraya, dengan ikrar untuk mempertahankan negeri yang ditadbir menerusi muafakat Pakatan Rakyat, dan seterusnya melebarkan ke negeri lain, hinggalah ke pemerintahan Pusat.
3. Saya menyeru kepada semua Kerajaan negeri di bawah PAS bersama Pakatan Rakyat - menggunakan masa yang tinggal ini untuk menyelesaikan urusan rakyat, teruskan kerja kebajikan; tanpa meninggalkan gerakerja parti hingga ke peringkat bawah dalam masyarakat.
4. Saya mengarahkan kepada semua pihak dalam parti, supaya berada di tahap bersiap-siaga yang paling tinggi untuk menghadapi Pilihanraya umum ke-13 – di mana kita akan berdepan dengan mainan nakal serta provokasi media dan BN yang terus menerus melaga-lagakan pimpinan PAS ke tahap yang tidak dapat kita bayangkan, akan terus memporak-perandakan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat sebagai langkah untuk melemahkan saf dan semangat kita. Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa. Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat.
5. Saya mengarahkan kepada semua pihak dalam parti supaya melaksanakan tugas pilihanraya masing-masing dengan penuh hikmah, mengajak rakyat untuk berubah - bukan memusuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
6. Saya mengarahkan kepada semua saf kepimpinan dan ahli, marilah sama-sama kita mengeratkan ukhuwwah sesama kita, dan terus memperkukuhkan hubungan hablun minallah semua petugas dan ahli PAS sebagai senjata yang akan menguatkan semangat berjuang, tidak mundur, dan memohon pertolongan dari Allah SWT serta bertawakkal kepada Nya. Suasana menghadapi pilihanraya janganlah menjadi penghalang kepada memperbanyakkan amal ibadat, solat, puasa sunat, bermunajat yang akan menjadi benteng dalam perjuangan kita ini kerana kemenangan Islam adalah kurniaan Allah SWT.
7. Marilah pada hari ini, kita sama-sama memahami tema muktamar kali ini, serta menyusun gerakerja dan strateginya nanti dalam semangat tema muktamar NEGARA BERKEBAJIKAN TERAS PERPADUAN.
PENUTUP
Akhirnya, dikesempatan ini bagi pihak muktamirin sekelian, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Menteri Besar Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan, seluruh saf kepimpinan Badan Perhubungan PAS Kelantan, PAS Kawasan Pengkalan Chepa, Pengarah dan Jawatankuasa Induk Muktamar, Jabatan Amal, dan semua petugas yang terlibat, serta semua pihak yang menjayakan Muktamar ke-58 ini. Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Seterusnya, saya RASMIKAN Muktamar Agung PAS kali ke-58 ini dengan menyebut
بسم الله الرحمن الرحيم
dan sabda Rasulullah SAW :
سيروا على بركة الله
الله أكبر ولله الحمد
Tiada ulasan:
Catat Ulasan